CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, April 5, 2009

Gol Terbaik Dalam Sejarah

United kembali di puncak

RONALDO (kiri) melakukan sepakan lencong yang menerjah jaring Aston Villa dalam saingan EPL di Old Trafford, malam tadi. United menang 3-2.


Dua gol Ronaldo redakan ketegangan melanda Old Trafford

MANCHESTER: Kebangkitan lewat serba hebat dijelmakan Manchester United yang kembali merajai persada Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 3-2 ke atas Aston Villa di Old Trafford, malam tadi.

Ketika keputusan seri tampak sudah hampir terjelma, penyerang muda berusia 17 tahun dari Itali, Federico Macheda, menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan buat United memadam badi dua kekalahan sebelumnya.


Ia membolehkan United kini memiliki 68 mata daripada 30 perlawanan - satu mata mengatasi Liverpool yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.


United membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila Cristiano Ronaldo menyempurnakan rembatan sepakan percuma yang cantik menerjah penjuru kanan gawang gol Villa menewaskan Brad Friedel.

John Carew memastikan kedudukan terikat pada minit ke-30 menerusi tandukan ke sasaran sebelum mengumpan buat Gabriel Agbonlahor menanduk masuk gol pendahuluan Villa pada minit ke-58. Ronaldo bagaimanapun melegakan tuan rumah dengan gol penyamaan, 10 minit sebelum tamat.

Gol kemenangan mereka terjelma pada masa kecederaan menerusi tindakan penyudah cantik Macheda yang sama sekali melepasi jangkauan Friedel.

Dalam satu lagi aksi Liga Perdana, semalam, penyerang Brazil, Jo menyumbat dua gol untuk memperkukuhkan harapan Everton layak ke kancah bola sepak Eropah, musim depan dengan kemenangan 4-0 ke atas Wigan.

Kejayaan itu adalah kemenangan terbesar bagi kelab Merseyside itu untuk kian menguatkan cengkaman di tangga keempat carta liga.

Jo membuka tirai jaringan pada minit ke-26 dengan rembatan paras rendah hasil umpanan Leon Osman dan menjaringkan satu lagi minit ke-51. Gol lain Everton diaringkan Marouane (m-47) dan Osman (m-61).


Friday, April 3, 2009

Najib angkat sumpah Perdana Menteri keenam

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Najib mengikut jejak allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang menerajui negara dari tahun 1970 sehingga 1976, apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia.


Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.


Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Acara penuh istiadat itu bermula apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat memasuki Balairong Seri pada jam 10.05 pagi.

Upacara dimulakan dengan lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri dimulakan pada jam 10.10 pagi.

Najib kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan, diikuti dengan bacaan doa selamat.

Keempat-empat Suratcara Pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.